top of page

Penglibatan Dalam Operasi

 

Sungguhpun pasukan telah mencapai taraf operasi sepertimana dirancangkan pada 1 Disember 1977, namun operasi sebenar hanya dilaksanakan pada 12 Mei 1978 dalam kawasan Gerakan OP KOTA GOLF di Gubir, Kedah yang berakhir pada 12 Ogos 1978. Sejak dari detik tersebut, pasukan telah menjalankan pelbagai operasi di serata tanahair dan menempa beberapa kejayaan yang amat membanggakan. Antaranya, sewaktu batalion ini menjalankan OP INDERA XII di Bentong, Pahang di mana anggota-anggota Platun 6 Kompeni B telah berjaya menembak mati 2 orang Pengganas Komunis (PGK) di kawasan Bukit Tengah pada 6 Mei 1979. Kejayaan ini menjadi lebih manis apabila DYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah diiringi oleh Brig Jen Chong Then Bok (Panglima 4 Bgd ketika itu) telah melawat kawasan pertempuran dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada anggota yang terlibat

 

 

 

 

 

Pada 27 September 1980 semasa OP INDERA II di Raub, pasukan telah menempa kejayaan kali kedua apabila anggota-anggota Kompeni C berjaya membunuh seorang PGK lelaki di kawasan Sungai Chalit. Sempena kejayaan tersebut Menteri Besar Pahang pada ketika itu, Dato’ Abdul Rahim bin Abu Bakar telah membuat lawatan ke Markas Taktikal Batalion bagi menyampaikan penghargaan kepada pasukan. Dalam tempoh yang sama juga, satu tempat simpanan makanan (food dump) PGK juga telah ditemui berhampiran dengan Sungai Chalit.

 

 

 

 

 

 

 

 

Seterusnya, sewaktu menjalankan OP PAKSI TUAH 1/88 di Kuala Kubu Bahru, pasukan telah berjaya menemui kawasan food dump PGK berhampiran dengan Genting Highland. Manakala pada 22 September 1991, sewaktu pasukan menjalankan OP KOTA CHARLIE / DELTA di kawasan Gubir, Kedah satu kejadian tembak menembak telah berlaku di antara Komp A dengan sekumpulan pendatang haram Thai dan mengakibatkan seorang pendatang haram Thai telah terbunuh.

 

 

 

 

Sehingga kini, pasukan masih menjalankan tugas-tugas operasi di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) seperti OP PASIR PANTAI di serata Semenanjung Malaysia, OP PASIR di pulau-pulau sekitar perairan Sabah, OP JAGAKAWAN di sempadan pedalaman Sarawak/Kalimantan (kawasan Limbang, Bario dan Bakelalan) serta OP BAMBOO di pedalaman Sarawak.

Panglima 4 Bgd melawat Mk Tak OP INDERA XII

Antara pakaian dan peralatan pada PGK yang ditembak mati

 Food dump yang ditemui di Sungai Chalit.

bottom of page