top of page

LENCANA DAN LAMBANG PASUKAN

 

Sesebuah pasukan perlu mempunyai identiti tersendiri. Dalam hal ini, pasukan telah memilih lencana dan lambang tersendiri sebagai pengenalan identiti serta tradisi yang akan sentiasa dipelihara. Lencana warna pasukan adalah hasil cetusan idea dari Pegawai Memerintah yang pertama, Lt Kol Zainal Abidin bin Mohd Dan. Penggunaan warna tersebut adalah berinspirasikan kepada warna bendera negeri kelahiran beliau, iaitu Perak Darul Ridzuan.

 

Warna kuning membawa maksud kesetiaan di dalam perkhidmatan di bawah Panji-Panji DiRaja. Warna hitam melambangkan ketabahan dan kecekalan. Dua garis di tengah-tengah pula menandakan Batalion Ke-20.

 

 

COGAN KATA DAN WARNA PASUKAN

 

Cogan Kata ‘Berjuang Berjasa’ membawa maksud seperti berikut:

 

Berjuang. Kesediaan dan kesanggupan setiap anggota batalion mencurahkan khidmat bakti dengan penuh semangat dan jiwa raga tanpa mengira cabaran yang dihadapi. Pengorbanan akan dilakukan sehingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara.

 

Berjasa. Setiap khidmat yang dicurahkan menjadi ingatan dan kenangan abadi sepanjang hayat.

 

Lencana Pasukan 20 RAMD

Berjuang Berjasa

Warna Batalion. ‘Kuning dan Hitam’ melambangkan pengertian-pengertian seperti berikut:

 

Hitam dan Kuning. Kesetiaan dalam perkhidmatan, ketabahan dan kecekalan batalion di bawah Panji-Panji Diraja.

 

Dua Garis Jalur. Dua garis jalur hitam di tengah-tengah sebagai simbolik kepada angka dua puluh.

 

 

LAMBANG KUASA PEGAWAI MEMERINTAH

 

Lambang kuasa Pegawai Memerintah pada awalnya berbentuk tongkat. Pun begitu, selepas pemerintahan Lt Kol Zam Zam bin Abd Hamid pada tahun 1982 tongkat tersebut telah ditukarkan kepada keris kuasa. Keseluruhan bahagian keris ini diperbuat dari perak asli. Panjang mata 20 cm menandakan batalion ke 20 dan ditempa khas oleh pengusaha seni ukir perak Kelantan di mana pasukan telah ditubuhkan. Kini telah dijadikan tradisi oleh Lt Kol Mohd Zakaria bin Yadi, Pegawai Memerintah ke 16 bahawa setiap pegawai yang bertukar keluar diberikan replika Keris Kuasa Pegawai Memerintah.

Tongkat Kuasa Pegawai Memerintah

Ragaan utama 20 RAMD merupakan replika Panji-Panji Rejimen yang ditegakkan di replika Drum Platun Tambor. Drum tersebut disusun sebanyak tiga tingkat, di mana enam Side Drum disusun di bahagian bawah, satu Base Drum di bahagian tengah dan satu Terneo Drum diletakkan di bahagian atas.Replika berkenaan diletakkan di atas tapak empat segi yang dihiasi dengan ukiran separuh bulatan. Rantai yang mengelilingi replika tersebut melambangkan ikatan silaturrahim di kalangan anggota batalion yang begitu kukuh. Di bahagian tapaknya terpapar cogankata pasukan 'Berjuang Berjasa' serta nama batalion 20 RAMD dan juga tahun 1977-2002 yang melambangkan usia batalion sempena sambutan Jubli Perak Hari Ulangtahun batalion yang ke-25.Drum melambangkan paluan semangat yang sentiasa disemai di sanubari setiap warga batalion. Ragaan ini adalah cetusan idea Lt Kol Mohd Isa bin Jaafa, Pegawai Memerintah ke-13 pada 1 Januari 2002. Ianya diperbuat daripada perak dan disadur dengan emas. Tempahannya telah dibuat di Syarikat Royal Selangor Pewter, dengan kos RM 7000.00.

 

RAGAAN BATALION

'TAMBOR BERJUANG BERJASA'

bottom of page